PUTRAJAYA: Ibu bapa atau penjaga kepada 517,908 calon yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), bermula Selasa depan dikehendaki melaporkan segera kepada pihak sekolah jika anak mereka mempunyai tanda jangkitan Influenza A (H1N1).
Pekeliling khas berkaitan garis panduan menghadapi wabak H1N1 itu dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan berkuat kuasa sepanjang tempoh peperiksaan UPSR dari Selasa hingga Khamis depan.
Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Pelajaran semalam, garis panduan itu mengkehendaki pelajar dan keluarga serta penjaga mengikuti perkembangan terkini jangkitan H1N1.
“Ibu bapa atau penjaga perlu menasihati anak mereka sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan virus H1N1 daripada terus merebak.
“Pelajar dan ahli keluarga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan LPM sekiranya mereka mempunyai tanda jangkitan H1N1,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, LPM membuka Bilik Gerakan USPR yang beroperasi 24 jam bagi memudahkan orang ramai berurusan dan menyalurkan sebarang maklumat mulai 1 hingga 11 September ini.
Mereka menghadapi masalah boleh menghubungi talian 03-88893601/ 03-88893809, faksimili 03-88893010 dan 03-88893445.
Bagi peperiksaan UPSR pula, seramai 510,127 atau 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran, manakala baki 7,783 atau 1.5 peratus lagi calon sekolah swasta.
“Selangor mencatat jumlah paling ramai calon iaitu 91,428 manakala Putrajaya mencatat bilangan calon paling kecil, 1,034 calon.
“Semua calon dinasihatkan membawa Borang Perakuan Calon Peperiksaan UPSR 2009 dan dikehendaki meletakkannya di atas meja untuk semakan ketua pengawas pada setiap hari peperiksaan.
“Mereka dikehendaki menduduki Ujian Aptitud Darjah Enam yang baru diperkenalkan, pada hari terakhir peperiksaan UPSR,” menurut kenyataan itu.
Sumber: www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment