Wednesday, September 16, 2009

Cuti Khas Untuk Semua Sekolah dan Institusi Pendidikan Di Bawah KPM Pada Hari Jumaat, 18 September 2009 Sempena Hari Raya Aidilfitri 1430H

1. Kabinet yang bermesyuarat pada hari ini, 16 September 2009, telah bersetuju untuk memberi Cuti Khas kepada semua Sekolah dan Institusi Pendidikan di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia pada hari Jumaat, 18 September 2009, sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang dijangka akan disambut pada hari Ahad 20 September atau hari Isnin 21 September 2009.

2. Keputusan ini diambil bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya.

3. Dengan keputusan Kabinet ini maka semua arahan Kementerian Pelajaran berkaitan Cuti Tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri 1430H sebelum ini adalah terbatal.

Monday, September 14, 2009

Kebenaran Kepada Sekolah-Sekolah Mengambil Cuti Peristiwa atau Cuti Berganti Sempena Hari Raya Aidilfitri 1430H

1. Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil maklum bahawa terdapat banyak permohonan daripada pihak sekolah dan juga kalangan ibu bapa supaya sekolah dibenarkan mengambil cuti tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang dijangka akan disambut pada hari Ahad 20 September atau hari Isnin 21 September 2009.

2. Setelah meneliti permohonan dan pandangan yang dikemukakan, Kementerian Pelajaran Malaysia bersetuju untuk memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah mengambil Cuti Peristiwa bagi sekolah-sekolah yang masih berbaki Cuti Peristiwa atau Cuti Berganti bagi sekolah-sekolah yang telah habis Cuti Peristiwanya. Keputusan ini diambil bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya.

3. Bagi negeri-negeri yang hari hujung minggunya hari Jumaat dan Sabtu sekolah-sekolah boleh bercuti pada hari Khamis, 17 September 2009, dan bagi negeri-negeri yang hari hujung minggunya hari Sabtu dan Ahad sekolah-sekolah boleh bercuti pada hari Jumaat, 18 September 2009,

4. Sekolah-sekolah yang mengambil Cuti Berganti hendaklah menggantikan hari persekolahan tersebut pada hari Sabtu, 31 Oktober 2009.

5. Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri telah diarahkan supaya meluluskan cuti tambahan tersebut mengikut kes-kes yang memohon sahaja dan kelulusan ini, tidak diberi secara keseluruhan. Semua Pejabat Pelajaran Daerah hendaklah memantau pelaksanaan cuti tambahan berganti ini.

Sunday, September 13, 2009

PENGGAL PERSEKOLAHAN TAHUN 2010

Setelah mendapat persetujuan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Pelajaran, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan bahawa Penggal Persekolahan bagi sesi persekolahan tahun 2010 akan bermula pada 3 Januari 2010 dan tamat pada 18 November 2010 bagi sekolah-sekolah Kumpulan A, manakala sekolah-sekolah Kumpulan B akan bermula pada 4 Januari 2010 dan tamat pada 19 November 2010.

Jumlah hari persekolahan termasuk cuti am adalah sebanyak 210 hari manakala jumlah cuti penggal adalah 78 hari. Jumlah hari persekolahan sebanyak 210 hari itu memberi ruang kepada semua sekolah untuk menikmati 4 hari Cuti Peristiwa dengan sepenuhnya.



Wednesday, September 9, 2009

Pelaksanaan Pengajaran & Pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik Bagi Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah

KENYATAAN AKHBAR

Y.BHG. TAN SRI DATO’ ALIMUDDIN HJ. MOHD DOM
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
Kenyataan akhbar ini bertujuan menerangkan dengan lebih jelas kepada masyarakat mengenai pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 8 Julai 2009 telah diputuskan bahawa dasar PPSMI akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 2012 bagi Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2009 telah bersetuju melaksanakan mekanisme “soft landing” untuk P&P Sains dan Matematik bagi membantu pelajar-pelajar mengatasi masalah peralihan dasar berkenaan. Mekanisme “soft landing” adalah seperti berikut:
  1. P&P Sains dan Matematik boleh dilaksanakan dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Dwibahasa bermaksud penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam P&P Sains dan Matematik di sekolah kebangsaaan dan sekolah menengah; dan penggunaan bahasa ibunda dan Bahasa Inggeris bagi SJK(C) dan SJK(T).
  2. Pelaksanaan dasar ini bermula pada tahun 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Walau bagaimanapun mekanisme “soft landing” akan memberi ruang kepada pelajar-pelajar lain menyesuaikan diri dengan peralihan dasar di mana P&P boleh dilaksanakan dalam dwibahasa. Kohort-kohort yang terlibat adalah seperti berikut:
  • Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
  • Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.
  • Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2016.
  • Kohort Tahun 1 (2009) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2013.
  • Kohort Tahun 1 (2010) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2014.
  • Kohort Tahun 1 (2011) – boleh menggunakan dwibahasa sehingga 2015.

PENTAKSIRAN

  1. Peperiksaan UPSR bagi matepelajaran Sains dan Metematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2016.
  2. Peperiksaan PMR bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehinggan tahun 2013.
  3. Peperiksaan SPM bagi matapelajaran Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga 2015.

Ini bermakna penggunaan Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi SJK(C) dan SJK(T) bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik akan dilaksanakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah menengah akan terlaksana pada tahun 2016. Walau bagaimanapun pengajaran Sains dan Matematikn bagi Tingkatan 6 dan Matrikulasi akan kekal dalam Bahasa Inggeris.

Kenyataan KPPM - Menghadapi Wabak Influenza A (H1N1) Semasa Peperiksaan Awam Tahun 2009

KENYATAAN
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
MENGHADAPI WABAK INFLUENZA A (H1N1) SEMASA PEPERIKSAAN AWAM TAHUN 2009



Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amat memandang serius berhubung penularan wabak Influenza A (H1N1) kepada masyarakat khususnya di kalangan murid-murid sekolah. Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 Bil. 2/2009 yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri pada 4 Ogos 2009 telah membuat keputusan bahawa pelaksanaan peperiksaan awam tetap diteruskan mengikut jadual sebagaimana yang telah disiarkan dalam akhbar tempatan pada 5 Ogos 2009. Maklumat peperiksaan awam tahun 2009 adalah seperti berikut:
Ini adalah perkara yang perlu diketahui umum sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
  • Situasi pertama, murid yang telah dimasukkan ke wad boleh menduduki peperiksaan di hospital.

  • Situasi kedua, murid yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti wabak Influenza A (H1N1) akan dikenalpasti oleh guru sekolah sebelum peperiksaan dan akan diasingkan dari murid-murid yang sihat untuk menduduki peperiksaan di bilik khas di pusat peperiksaan di sekolah.

  • Situasi ketiga, jika penularan wabak tidak dapat dibendung hanya murid yang menduduki peperiksaan sahaja diminta hadir ke sekolah, manakala murid lain diberi cuti sehingga peperiksaan tamat.

KPM telah membuat persediaan rapi termasuklah bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menangani wabak ini.

KPM memerlukan maklumat sebenar dari calon agar pemantauan dan bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada calon. KPM memohon pihak sekolah agar sentiasa peka terhadap kesihatan calon dan menyalurkan maklumat calon kepada bilik gerakan. KPM akan mengoperasikan bilik gerakan di peringkat Pusat dan Jabatan Pelajaran Negeri serta Pejabat Pelajaran Daerah seminggu sebelum peperiksaan bermula.

Saya menasihatkan pihak pentadbir sekolah untuk meningkatkan tahap kebersihan murid-murid dan sekolah agar penularan Influenza A (H1N1) dapat dikawal. Di sekolah, pengetua, guru besar dan guru bertugas dikehendaki membuat pemeriksaan sebelum peperiksaan bermula untuk membolehkan murid sihat diasingkan dari murid yang menunjukkan gejala wabak ini. Calon yang menunjukkan gejala wabak atau telah dijangkiti wabak akan dibantu dengan membekalkan topeng muka semasa peperiksaan.

Saya bagi pihak KPM menyeru dan menasihatkan supaya semua ibu bapa sentiasa peka dan mengikut panduan penjagaan kesihatan serta mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak virus ini dari terus merebak dan mengancam kesihatan anak-anak kita. Sekiranya anak-anak menunjukkan gejala dijangkiti wabak ini, segeralah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kepada para petugas peperiksaan juga diingatkan agar mematuhi arahan dan mengambil langkah pencegahan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan pula, saya menasihatkan agar menjaga kesihatan diri semoga tidak dijangkiti penyakit ini dan dapat menduduki peperiksaan.

Saya mendoakan semua calon dilindungi Allah supaya dapat menduduki peperiksaan dengan jayanya. Manakala bagi warga sekolah dan para petugas peperiksaan bersama-samalah kita berdoa agar dijauhi dari wabak ini.

Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran
Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya

6 Ogos 2009

Tuesday, September 8, 2009

BERITA TERKINI

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pandemik Influenza Bil. 11/2009 yang diadakan pada hari ini yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah memutuskan perkara-perkara berikut:-

1. Rawatan Antiviral Influenza :
  • Semua pesakit yang bersimptom influenza dan mempunyai risiko adalah diminta segera mendapat rawatan antiviral influenza di mana-mana hospital atau klinik yang berdekatan. Di fasiliti kerajaan rawatan adalah percuma.
  • Individu yang sakit dengan simptom influenza, tidak termasuk dalam golongan berisiko tetapi mempunyai demam yang tinggi dan berpanjangan (lebih 2 hari) juga akan diberikan rawatan. Oleh itu mereka perlu memantau simptom demam yang berpanjangan untuk mendapat rawatan sewajarnya.
  • Bagi mereka yang tidak termasuk di dalam golongan (a) dan (b) di atas, dan telah menjalani ujian “rapid test” serta positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam. Simptom yang dimaksudkan adalah sesak nafas, sakit dada berterusan, kahak berdarah, cirit-birit atau muntah berterusan, berkelakuan luar biasa, keliru, kurang responsif atau rasa pening kepala apabila berdiri.

2. Pandemik influenza A telah memasuki fasa mitigasi, oleh itu tindakan penutupan sekolah dan institusi hanya akan diambil sebagai pilihan akhir. Tindakan penutupan sekolah/ institusi hanya akan dilakukan oleh pihak sekolah atau institusi bila kehadiran pelajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik. Pihak sekolah/ institusi bertanggungjawab untuk memutuskan status penutupan sekolah/ institusi/ kelas. Pihak sekolah/ institusi boleh mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan daerah jika perlu.

Tindakan yang perlu diambil adalah:

  • Ibu bapa/ penjaga hendaklah memastikan anak mereka yang mempunyai gejala ‘infleunza like illness’ tidak hadir ke sekolah dan mendapatkan rawatan.
  • Pihak sekolah diminta untuk membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap murid sekolah setiap hari dan merujuk ke klinik untuk rawatan lanjut.

3. Rawatan oleh Klinik dan Hospital Swasta

Semua klinik dan hospital swasta boleh merawat jangkitan influenza dan diminta untuk tidak menolak pesakit yang hendak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital mereka. Pihak klinik dan hospital swasta boleh mendapatkan bekalan antiviral dari pihak pembekal secara terus. Untuk makluman, rawatan kes-kes ini tidak terhad kepada ‘designated’ hospital sahaja asalkan mempunyai kemudahan bilik isolasi juga boleh memberi rawatan.

4. Penutup Mulut dan Sanitizer

Saya meminta supaya pihak pengeluar, pembekal dan penjual penutup mulut dan sanitizer agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. Penutup mulut dan sanitizer ini perlu untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan influenza A(H1N1) dalam masyarakat. Saya akan meminta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memantau perkara ini.

5. Vaksin dan Tamiflu

Saya ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa vaksin dan antiviral adalah berbeza. Antiviral seperti Oseltamivir (Tamiflu) yang diambil secara oral dan Zanamivir (Relenza) yang diambil secara sedutan adalah ubat untuk merawat jangkitan influenza A(H1N1) dan ianya bukan vaksin. Vaksin untuk Influenza A(H1N1) masih belum ada sama ada di Malaysia atau di dunia.

Orang ramai diminta sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Apabila Murid Sekolah Rendah Positif Dadah…

Memetik laporan dalam Berita Harian hari ini, Isnin 7 September 2009:
PUTRAJAYA: Seramai 306 murid di beberapa sekolah rendah di negara ini dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah tahun ini, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abdul Bakir Zin.

Beliau berkata, murid berkenaan dikesan positif dadah hasil ujian air kencing secara pro aktif yang dijalankan Unit Pencegahan AADK.
“Di Kelantan kami dapati lebih kurang 60 orang murid sekolah positif dadah. Kami berjaya mengesan mereka melalui Program Intervensi Pelajar yang dilaksanakan dengan Kementerian Pelajaran.”

“Program ini dilakukan khusus untuk mengesan secara pro-aktif murid sekolah yang berkemungkinan menjadi penghisap dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani “Term of Referrence” dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, AADK turut menjalankan program susulan bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah di kalangan murid dan pelajar dapat dibendung.

Abdul Bakir bekata Unit Pencegahan AADK turut melakukan pengawasan terhadap pelbagai badan, jabatan dan agensi kerajaan untuk memastikan tiada penyalahgunaan dadah berlaku di kalangan penjawat awam.

“Setakat ini tiada penjawat yang positif dadah yang kami kesan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan berterusan terhadap pemandu bas sempena musim perayaan ini. - BERNAMA

Laporan ini suatu laporan yang merisaukan. Apabila murid sekolah rendah pun sudah pandai menagih dadah, maka sudah tentu itu suatu gambaran yang sangat merisaukan. Hal ini menggambarkan masalah besar yang berlaku dalam masyarakat kita. Apakah yang menyebabkan murid sekolah rendah pun sudah pandai menagih dadah? Apakah institusi kekeluargaan di negara ini sudah begitu rapuh sehinggakan kanak-kanak pun boleh terdorong untuk menagih dadah? Namun, apa yang pasti, hal ini merupakan suatu lagi petanda betapa pandangan hidup masyarakat di negara ini, terutamanya di kalangan masyarakat majoriti yakni umat Islam, begitu celaru dan rapuh.

Dalam kes seperti ini, sudah tentu yang boleh dikatakan sebagai salah bukanlah semata-mata kanak-kanak sekolah itu. Hal ini demikian kerana keterlibatan mereka dengan penyalahgunaan dadah tersebut pastinya kerana ada ‘dalang’ daripada kalangan orang dewasa di belakangnya. Yang penting juga, di manakah letaknya peranan institusi kekeluargaan? Apakah ibubapa pada hari ini sudah terlalu sibuk dengan kerjaya dan mengejar harta dunia, sehingga mengabaikan tanggungjawab besar mereka dalam mendidik dan membentuk anak? Ibubapa harus faham, pendidikan anak-anak bukanlah dengan menghantar mereka ke sekolah. Tetapi yang lebih penting, pendidikan anak-anak adalah merupakan tanggungjawab ibubapa yang harus mengajarkan mereka dengan adab dan akhlak yang ditunjukkan oleh Islam semenjak anak-anak itu kecil lagi. Malah, dalam Islam, pendidikan anak itu harus bermula semenjak sebelum anak itu lahir lagi.

Seringkali pada hari ini, menjadi kecenderungan di kalangan banyak pihak untuk menuding jari dan menyalahkan golongan muda atas masalah-masalah sosial yang berlaku. Perkara ini harus dibetulkan. Dalam Islam, kita tidak diajarkan bahawa terdapat perbezaan umur dalam soal tanggungjawab, ilmu dan akhlak. Ada di kalangan generasi muda yang sangat berilmu, sangat baik akhlaknya dan sangat mulia kedudukannya di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Dan, ramai juga di kalangan generasi tua yang sedikit ilmunya, buruk akhlaknya dan rendah darjatnya di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Begitulah sebaliknya. Oleh sebab itulah dalam kita meneliti permasalah sosial, seperti isu penyalahgunaan dadah di kalangan murid sekolah rendah ini, kita harus melihatnya dalam perspektif yang lebih luas, ‘the bigger picture’. Isunya bukan semata-mata masalah generasi muda pada hari ini yang semakin hilang hala tuju, tetapi masalahnya adalah masalah segenap entiti dalam masyarakat yang menyumbang ke arah berlakunya permasalahan tersebut.

Perkara paling asas, sudah tentu adalah untuk membetulkan pandangan hidup masyarakat itu sendiri. Dan, yang dimaksudkan dengan masyarakat di sini termasuklah golongan remaja dan belia, para ibubapa, para pendidik, ahli korporat dan juga ahli politik. Rata-ratanya, pandangan hidup masyarakat kita pada hari ini dicorak dan dibentuk oleh fahaman yang sekularistik dan materialistik. Masyarakat dididik dan dimomokkan dengan slogan ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ yang bersifat semata-mata fizikal dan material. Jika adapun soal pembangunan insan ditekankan, itu pun adalah bertujuan untuk menambah tenaga kerja bagi membantu proses pembangunan yang bersifat material itu. Hal ini berlaku kerana masyarakat kita ‘terperangkap’ dalam suatu pandangan hidup yang melihat kemajuan dan pembangunan material itu sebagai matlamat dan sumber kebahagiaan. Sedangkan, dalam Islam, kita diajar dengan begitu jelas bahawa segala yang bersifat duniawi ini nilainya sangat rendah dan malah tidak bermanfaat untuk kehidupan abadi kelak. Dalam Al-Qur’an sendiri dijelaskan betapa harta dunia dan anak-anak tidak akan bermanfaat di hari akhirat kelak. Sebaliknya, yang bermanfaat adalah hati yang suci dan bersih yang dipersembahkan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Masyarakat kita pada hari ini tidak lagi diajar untuk melihat hala tuju kehidupan ini dalam pandangan yang lebih luas. Pengaruh sekularisasi telah menyebabkan ilmu-ilmu yang fundamental dan paling penting seperti pendidikan agama Islam disamatarafkan, atau diletakkan lebih rendah tarafnya, dengan ilmu-ilmu lain seperti sains dan matematik. Akibatnya, masyarakat kita mengetahui akan hari akhirat, tetapi tidak ramai yang benar-benar meyakini dan menghayatinya. Sedangkan, hakikatnya, hari akhirat itulah kehidupan kita yang sebenar. Semua manusia akan mati, tidak ada sesiapa boleh menyangkalnya. Selepas kematian, kita semua akan dihidupkan semula, dinilaikan segala amalan kita di dunia ini, dan kemudian kita akan dihantar ke destinasi terakhir kita: syurga atau neraka, dan di sana kita hidup selama-lamanya! Semua orang akhirnya akan ke situ, tetapi mengapa hal tersebut tidak menjadi suatu slogan yang utama dalam menentukan hala tuju masyarakat. Malah, perbincangan tentang soal kematian, syurga dan neraka dianggap sebagai sesuatu yang ‘kolot’ dan ‘terkebelakang’ dalam masyarakat pada hari ini. Sesungguhnya, orang yang menganggap kolot dan memandang rendah perbincangan-perbincangan tersebut adalah sebenarnya orang yang jahil dan buta mata hatinya.

Akhirnya, bila berlaku isu seperti penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah rendah ini, semua pihak akan mula menuding jari menyalahkan antara satu sama lain, dan kemudiannya suatu lagi dasar, peraturan, kempen dan program mungkin akan diperkenalkan yang pada hakikatnya tidak pun menyentuh akar permasalah sebenar dalam masyarakat kita pada hari ini.

Justeru, apa yang penting dan yang boleh dilakukan oleh kita selaku entiti kecil dalam masyarakat adalah untuk kembali mendekatkan diri kita kepada Allah dan Rasul-Nya, dan seterusnya berusaha menyampaikan kefahaman kepada masyarakat agar menjadikan keredhaan Allah dan Rasul-Nya itu sebagai matlamat utama yang ingin dicapai dalam kehidupan.

Sunday, September 6, 2009

JADUAL WAKTU PEPERIKSAAN BERTULIS UPSR 2009


Panduan buat calon UPSR

PUTRAJAYA: Ibu bapa atau penjaga kepada 517,908 calon yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), bermula Selasa depan dikehendaki melaporkan segera kepada pihak sekolah jika anak mereka mempunyai tanda jangkitan Influenza A (H1N1).
Pekeliling khas berkaitan garis panduan menghadapi wabak H1N1 itu dikeluarkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan berkuat kuasa sepanjang tempoh peperiksaan UPSR dari Selasa hingga Khamis depan.
Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Pelajaran semalam, garis panduan itu mengkehendaki pelajar dan keluarga serta penjaga mengikuti perkembangan terkini jangkitan H1N1.
“Ibu bapa atau penjaga perlu menasihati anak mereka sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan virus H1N1 daripada terus merebak.
“Pelajar dan ahli keluarga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan LPM sekiranya mereka mempunyai tanda jangkitan H1N1,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, LPM membuka Bilik Gerakan USPR yang beroperasi 24 jam bagi memudahkan orang ramai berurusan dan menyalurkan sebarang maklumat mulai 1 hingga 11 September ini.
Mereka menghadapi masalah boleh menghubungi talian 03-88893601/ 03-88893809, faksimili 03-88893010 dan 03-88893445.
Bagi peperiksaan UPSR pula, seramai 510,127 atau 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran, manakala baki 7,783 atau 1.5 peratus lagi calon sekolah swasta.
“Selangor mencatat jumlah paling ramai calon iaitu 91,428 manakala Putrajaya mencatat bilangan calon paling kecil, 1,034 calon.
“Semua calon dinasihatkan membawa Borang Perakuan Calon Peperiksaan UPSR 2009 dan dikehendaki meletakkannya di atas meja untuk semakan ketua pengawas pada setiap hari peperiksaan.
“Mereka dikehendaki menduduki Ujian Aptitud Darjah Enam yang baru diperkenalkan, pada hari terakhir peperiksaan UPSR,” menurut kenyataan itu.
Sumber: www.hmetro.com.my

Calon UPSR yang sakit ambil peperiksaan pada tarikh sama

KUALA LUMPUR: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang tidak sihat dan perlu dimasukkan ke hospital boleh menduduki peperiksaan pada tarikh yang sama dengan pengawasan khas, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong semamlam.
"Kelmarin, saya tidak mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar yang tidak sihat dan perlu dimasukkan ke hospital akan dibenar menduduki peperiksaan pada tarikh lain di bawah pengawasan khas," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Kira-kira 500,000 murid yang akan menduduki UPSR minggu depan wajib menjalani ujian suhu badan sebelum menduduki peperiksaan itu sebagai langkah mengelak penularan wabak Influenza A (H1N1).
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kementerian dan mereka yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius hanya dibenar mengambil peperiksaan di tempat berasingan yang akan diatur pihak sekolah.BERNAMA
Sumber: mstar.com.my

Semua Calon UPSR Perlu Diambil Suhu Badan

JOHOR BAHARU 3 Sept. - Semua calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) minggu depan wajib menjalani ujian suhu badan sebelum menduduki peperiksaan tersebut sebagai langkah mengelak penularan wabak selesema babi atau influenza A(H1N1).
Kementerian Pelajaran dalam mesyuarat semalam telah memutuskan bahawa 500,000 calon UPSR bermula Selasa ini perlu menjalani pemeriksaan itu dan sekiranya suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius maka mereka perlu diasingkan.
“Sebuah bilik pengasingan akan diwujudkan di semua pusat peperiksaan, jauh daripada dewan utama peperiksaan,” kata timbalan menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Dalam kes di mana pelajar yang tidak sihat dan perlu dimasukkan ke hospital, Wee berkata mereka akan dibenarkan menduduki peperiksaan pada satu tarikh lain di bawah pengawasan khas.
Bercakap pada kempen mencegah A(H1N1) di sebuah pusat membeli-belah di sini hari ini, Wee berkata kesemua 32,000 pemeriksa UPSR di seluruh negara akan disediakan dengan pelarut sanitizer dan penutup mulut dan hidung. - BERNAMA
Sumber: www.utusan.com.my

Thursday, September 3, 2009

UPSR 2009

8,9,10 SEPTEMBER 2009