Monday, September 14, 2009

Kebenaran Kepada Sekolah-Sekolah Mengambil Cuti Peristiwa atau Cuti Berganti Sempena Hari Raya Aidilfitri 1430H

1. Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil maklum bahawa terdapat banyak permohonan daripada pihak sekolah dan juga kalangan ibu bapa supaya sekolah dibenarkan mengambil cuti tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang dijangka akan disambut pada hari Ahad 20 September atau hari Isnin 21 September 2009.

2. Setelah meneliti permohonan dan pandangan yang dikemukakan, Kementerian Pelajaran Malaysia bersetuju untuk memberi kebenaran kepada sekolah-sekolah mengambil Cuti Peristiwa bagi sekolah-sekolah yang masih berbaki Cuti Peristiwa atau Cuti Berganti bagi sekolah-sekolah yang telah habis Cuti Peristiwanya. Keputusan ini diambil bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya.

3. Bagi negeri-negeri yang hari hujung minggunya hari Jumaat dan Sabtu sekolah-sekolah boleh bercuti pada hari Khamis, 17 September 2009, dan bagi negeri-negeri yang hari hujung minggunya hari Sabtu dan Ahad sekolah-sekolah boleh bercuti pada hari Jumaat, 18 September 2009,

4. Sekolah-sekolah yang mengambil Cuti Berganti hendaklah menggantikan hari persekolahan tersebut pada hari Sabtu, 31 Oktober 2009.

5. Semua Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri telah diarahkan supaya meluluskan cuti tambahan tersebut mengikut kes-kes yang memohon sahaja dan kelulusan ini, tidak diberi secara keseluruhan. Semua Pejabat Pelajaran Daerah hendaklah memantau pelaksanaan cuti tambahan berganti ini.

No comments:

Post a Comment