Tuesday, September 8, 2009

BERITA TERKINI

Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pandemik Influenza Bil. 11/2009 yang diadakan pada hari ini yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah memutuskan perkara-perkara berikut:-

1. Rawatan Antiviral Influenza :
  • Semua pesakit yang bersimptom influenza dan mempunyai risiko adalah diminta segera mendapat rawatan antiviral influenza di mana-mana hospital atau klinik yang berdekatan. Di fasiliti kerajaan rawatan adalah percuma.
  • Individu yang sakit dengan simptom influenza, tidak termasuk dalam golongan berisiko tetapi mempunyai demam yang tinggi dan berpanjangan (lebih 2 hari) juga akan diberikan rawatan. Oleh itu mereka perlu memantau simptom demam yang berpanjangan untuk mendapat rawatan sewajarnya.
  • Bagi mereka yang tidak termasuk di dalam golongan (a) dan (b) di atas, dan telah menjalani ujian “rapid test” serta positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam. Simptom yang dimaksudkan adalah sesak nafas, sakit dada berterusan, kahak berdarah, cirit-birit atau muntah berterusan, berkelakuan luar biasa, keliru, kurang responsif atau rasa pening kepala apabila berdiri.

2. Pandemik influenza A telah memasuki fasa mitigasi, oleh itu tindakan penutupan sekolah dan institusi hanya akan diambil sebagai pilihan akhir. Tindakan penutupan sekolah/ institusi hanya akan dilakukan oleh pihak sekolah atau institusi bila kehadiran pelajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik. Pihak sekolah/ institusi bertanggungjawab untuk memutuskan status penutupan sekolah/ institusi/ kelas. Pihak sekolah/ institusi boleh mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan daerah jika perlu.

Tindakan yang perlu diambil adalah:

  • Ibu bapa/ penjaga hendaklah memastikan anak mereka yang mempunyai gejala ‘infleunza like illness’ tidak hadir ke sekolah dan mendapatkan rawatan.
  • Pihak sekolah diminta untuk membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap murid sekolah setiap hari dan merujuk ke klinik untuk rawatan lanjut.

3. Rawatan oleh Klinik dan Hospital Swasta

Semua klinik dan hospital swasta boleh merawat jangkitan influenza dan diminta untuk tidak menolak pesakit yang hendak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital mereka. Pihak klinik dan hospital swasta boleh mendapatkan bekalan antiviral dari pihak pembekal secara terus. Untuk makluman, rawatan kes-kes ini tidak terhad kepada ‘designated’ hospital sahaja asalkan mempunyai kemudahan bilik isolasi juga boleh memberi rawatan.

4. Penutup Mulut dan Sanitizer

Saya meminta supaya pihak pengeluar, pembekal dan penjual penutup mulut dan sanitizer agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. Penutup mulut dan sanitizer ini perlu untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan influenza A(H1N1) dalam masyarakat. Saya akan meminta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk memantau perkara ini.

5. Vaksin dan Tamiflu

Saya ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa vaksin dan antiviral adalah berbeza. Antiviral seperti Oseltamivir (Tamiflu) yang diambil secara oral dan Zanamivir (Relenza) yang diambil secara sedutan adalah ubat untuk merawat jangkitan influenza A(H1N1) dan ianya bukan vaksin. Vaksin untuk Influenza A(H1N1) masih belum ada sama ada di Malaysia atau di dunia.

Orang ramai diminta sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapatkan rawatan segera bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1). Maklumat dan perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

No comments:

Post a Comment